Wednesday, May 19, 2010

Akta Hakcipta Selepas 23 Tahun

Akta Hakcipta Selepas 23 Tahun

AKTA Hakcipta telah diwartakan pada 1987. Ini bermakna usianya sudah 23 tahun. Tujuan akta ini bagi melindungi hak-hak para karyawan seni termasuklah dalam bidang-bidang seperti muzik, filem dan drama.

Selepas dua dekad, banyak perkembangan berlaku dengan drastik sesuai dengan arus pemodenan. Banyak perkara dalam akta itu yang memerlukan anjakan demi menjaga kepentingan pihak-pihak berkaitan.

Contohnya, soal royalti jualan album, siaran lagu di radio, televisyen (TV) serta persembahan artis di tempat-tempat terbuka. Semua itu boleh mendatangkan duit buat golongan penyanyi, komposer, pemuzik dan penulis lirik tanah air.

Sayangnya, selama 23 tahun, ramai penggiat seni yang belum mampu mengaut pendapatan lumayan daripada kerjaya mereka. Mereka secara tidak langsung terus ditindas dengan pelbagai cara sesuai dengan keadaan zaman.

Dulu cabaran bidang muzik adalah lanun-lanun cetak rompak. Sekarang ini cabarannya adalah muat turun lagu di Internet secara haram atau percuma.

Atas dasar itulah kerajaan harus mengkaji semula muat turun lagu secara percuma di Internet. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mempunyai kaitan dalam pengisian perkhidmatan Internet harus dilibatkan sama dalam hal tersebut.

Paling menyedihkan apabila syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) turut 'tumpang sekaki' menggunakan lagu-lagu dalam nada dering dengan kadar royalti yang kurang memihak kepada para pengkarya.

Lebih separuh daripada keuntungan penggunaan lagu itu diambil telco.

Sepatutnya, ada suatu pihak terutamanya kerajaan seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang memantau keadaan itu.

Ramai karyawan muzik kita misalnya, yang tidak tahu secara tepat berapa kalikah lagu-lagu mereka digunakan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat telco? Perlu ada pihak termasuklah SKMM yang sepatutnya memantau perkembangan itu yang kini menjadi trend.

Syarikat-syarikat pengutip royalti seperti Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Pelaku Persembahan Muzik (PPM) serta Pengutip Royalti Persembahan dan Hak Artis Sdn.Bhd. (Prism) juga harus dipantau dari semasa ke semasa.

Ramai yang memuji fungsi MACP dan PPM yang dikatakan tidak bertindan, tetapi ada pula pihak mencadangkan peranan Prism dikaji semula. Ia dikatakan mengulangi peranan PPM yang turut mengutip royalti karya-karya artis di tempat-tempat awam.

KPDNKK harus bertegas dalam hal ini, sama ada dalam menentukan harga siling buat bayaran royalti album atau persembahan di tempat-tempat terbuka. Kadarnya haruslah masuk akal dengan taraf hidup dan ekonomi sekarang ini.

Adalah tidak logik apabila royalti sebuah album 10 sen hingga RM1 dibayar kepada komposer, penulis lirik ataupun penyanyi. Kadar sekitar RM1 itu juga harus dikongsi dengan sekurang-kurangnya tiga pihak terbabit.

Itu dalam bidang muzik, manakala bidang filem dan drama turut menerima banyak keluhan terutamanya golongan penerbit. Mereka seolah-olah ditindas stesen-stesen TV swasta dalam soal hakcipta karya masing-masing.

Penerbit drama, telemovie atau filem misalnya, hanya menerima sekali bayaran atas pembelian karya-karya mereka. Sedangkan pihak stesen TV mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menayangkannya berulang kali tanpa membayar royalti kepada para penerbitnya.

Mujurlah tidak lama lagi Akta Hakcipta 1987 akan dipinda. Banyak perkara dalam akta itu yang harus dikemaskinikan. Ia dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Namun, sebelum usul itu dibentangkan di Parlimen, KPDNKK haruslah mengenal pasti perkara-perkara yang akan dipinda dalam akta tersebut dan ia dibawa kepada semua ahli dalam persatuan-persatuan artis di negara ini.

KPDNKK haruslah memanggil kesemua 11 persatuan artis yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia bagi mendapatkan persetujuan mereka.

Ia bagi memastikan pindaan akta itu difahami serta disokong semua pihak dan tidak meminggirkan sesiapa juga. Daripada golongan penerbit sehinggalah pembancuh air di lokasi penggambaran, mereka berhak mendapat manfaat daripada pindaan akta tersebut.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm